|
|
Dalam era dunia serba canggih sekarang ini, laman sosial seperti Facebook dan Twitter mahupun kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) menjadi pilihan kepada pasangan kekasih untuk berhubung bagi mengeratkan cinta.
Justeru tiada lagi nota-nota cinta di atas helaian kertas melalui kiriman surat sebagaimana pasangan dulu-dulu. Ketika itu segala luahan hati dan perasaan sayang mampu dirasai walau masing-masing terpisah jauh jarak beribu batu.
Saat manis berutus dan berbalas surat turut dialami oleh pasangan bahagia ini yang usia perkahwinan mereka kini sudah menjangkau 21 tahun.
Pasangan pemilik perusahaan ternakan haiwan, MJ Fatonah Sdn. Bhd., Mohamad Jamil Mahidin, 43, dan isteri, Siti Fatonah Arbain, 42, mempunyai kisah cinta tersendiri yang mampu membuat mereka tersenyum apabila diingat kembali.
Bibit perkenalan bermula ketika pertama kali pada minggu suai kenal pelajar baru di Politeknik Batu Pahat, Johor.
Ketika itu Mohamad Jamil baru habis mengikuti latihan industri manakala Siti Fatonah adalah pelajar yang baru mendaftar.
Namun ketika itu belum timbul sebarang perasaan cinta antara mereka, sekadar mengetahui bahawa mereka tinggal sekampung di Sabak Bernam, Selangor.
Pertemuan kedua juga berlaku secara kebetulan ketika sama-sama menghantar seorang saudara ke lapangan terbang yang kemudian menjadi titik tolak permulaan kisah cinta mereka.
Di mata Mohamad Jamil ketika itu Fatonah nampak 'rock' kerana hanya berbaju T dan berseluar jeans.
Langkah berani Fatonah meminta alamat Mohamad Jamil bertujuan meminta nota daripada 'seniornya' itu telah membuka lembaran baru kepada perhubungan mereka berdua.
"Daripada tujuan asal hanya ingin meminta nota lama-kelamaan telah timbul perasaan sayang antara satu sama lain.
"Sehinggalah sampai satu tahap kami wajib mengutus surat setiap hari walau lambat sampai.
"Daripada surat itulah saya yakin dia sangat menyayangi saya. Melalui tulisannya saya nampak dia ikhlas dan mengambil berat walaupun pada awalnya saya ingat dia sombong dan 'bermulut laser'.
"Kebetulan sebelum ini kebanyakan lelaki yang ingin berkawan dengan saya tidak ikhlas dan hanya ingin mengambil kesempatan.
"Berbeza dengan dia yang nampak jujur sehingga membuka hati saya untuk membawanya berjumpa keluarga.
"Sangat beruntung mengenali Jamil kerana dia memenuhi ciri lelaki idaman saya iaitu tidak merokok, tidak suka memancing dan tidak gemar menonton perlawanan bola sepak," kata Fatonah yang merupakan pengurus MJ Fatonah Sdn. Bhd.
Setelah setahun berkawan akhirnya mereka bertunang yang cuma mengambil masa tiga minggu sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin pada 15 Jun 1991.
Sementara itu, secara berseloroh Mohamad Jamil mengakui, dia tertarik dengan Fatonah kerana bentuk badannya yang tidak kurus dan tidak gemuk.
Namun, keikhlasan Fatonah yang sebenar-benarnya membuka hati Mohamad Jamil untuk untuk menyunting wanita itu sebagai suri hatinya.
"Kami berkahwin sebaik saja saya menamatkan pengajian, kerja pun belum ada. Tetapi agaknya kerana rezeki perkahwinan, seminggu selepas itu saya dapat kerja walaupun jauh di Skudai, Johor.
"Selama setahun kami terpaksa tinggal berasingan kerana isteri saya masih belajar dan seminggu sekali saya berulang alik dari rumah di Sabak Bernam ke Johor setiap minggu untuk berjumpa dengannya," katanya.
Mengulas mengenai penglibatan mereka dalam bidang perniagaan, pasangan itu sanggup berhenti kerja kerana minat yang mendalam terhadap bidang penternakan selain faktor tekanan ketika bekerja di tempat lama.
Menurut Mohamad Jamil, kerja bersama-sama banyak kelebihannya kerana mereka boleh berbincang secara cepat dan bertukar pendapat secara bebas jika ada masalah terlintas terutama mengenai masalah syarikat.
"Walauapun sentiasa menghabiskan masa bersama, langsung tidak timbul rasa jemu di antara satu sama lain malah mengeratkan lagi perasaan kasih sayang antara kami berdua," kata Mohamad Jamil yang merupakan anak bongsu daripada 11 orang adik beradik.
Tambahnya, bagi memastikan rumah tangga sentiasa diberkati mereka sentiasa amalkan solat dan makan secara berjemaah di samping mementingkan kualiti masa bersama keluarga.
Hasil perkongsian dua jiwa ahli perniagaan ini telah memperolehi dua orang cahayamata iaitu Muhammad Khairul, 19, dan Muhammad Khairunnas, 15
Tiada ulasan:
Catat Ulasan