Utusan Online
Soalan: BolehKAH Doktor terangkan mengenai andropaus dan kesannya kepada masalah lelaki?
*Jo, Kuala Lumpur
Saudara Jo,
Pertama, saya perlu maklumkan bahawa perkataan atau terma andropaus
sebenarnya tidak begitu tepat. Secara fisiologinya, orang lelaki adalah
berbeza dengan wanita.
Apabila wanita putus haid, hilanglah keupayaan reproduktif mereka
iaitu untuk mengandung dan melahirkan anak. Maka berlakulah apa yang
sering disebutkan sebagai menopaus atau situasi apabila paras hormon
estrogen menjadi terlalu rendah.
Simptom seperti keletihan, sakit sendi, kurang nafsu dan faraj kering
boleh timbul sejurus sebelum putus haid atau selepas berlakunya putus
haid.
Bagi lelaki, penurunan paras hormon testosteron berlaku secara
perlahan-lahan bermula akhir 30-an atau awal 40-an dan berterusan ke
akhir hayat. Keadaan ini dipanggil sindrom kurang hormon testosteron.
Penurunan hormon testosteron ini boleh berlaku amat perlahan atau
mendadak ke paras yang sangat rendah sehingga memberikan simptom yang
ringan, sederhana mahupun teruk. Corak penurunan ini banyak bergantung
kepada tahap kesihatan seseorang lelaki itu.
Contohnya, jika anda menghadapi masalah kegemukan, darah tinggi,
kencing manis dan penyakit jantung, maka paras hormon akan menjadi
sangat rendah manakala jika anda mengamalkan corak kehidupan yang
positif dan sihat, maka paras hormon tersebut mungkin tidak menurun atau
menurun dengan kadar sangat perlahan malah mungkin tidak ada simptom
langsung.
Simptom yang biasa berlaku kepada lelaki hampir sama dengan simptom
menopaus dialami wanita iaitu keletihan, sakit sendi, cepat mendapat
tekanan, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani
serta banyak lagi simptom yang tidak begitu spesifik.
Doktor perlu mengenal pasti penyakit yang dihadapi dengan menjalankan
pemeriksaan kesihatan dan penyiasatan ujian darah sebelum mengesahkan
seseorang lelaki itu menghadapi masalah andropaus. Kini, banyak rawatan
yang terbukti memberi kesan positif terhadap kualiti kehidupan seseorang
lelaki dan pasangan mereka.
Jika saudara ingin maklumat lanjut, jumpalah doktor dan dapatkan
nasihat lanjut. Dalam pada itu jangan lupa amalkan cara hidup sihat dan
positif dalam kehidupan seharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan