SAYA mohon pihak berwajib bukalah mata dan lihat sendiri masalah kami, wanita yang digantung tak bertali bukan sahaja oleh suami tetapi oleh Mahkamah Syariah.
Gambar dari Perkara Cerai |
''Sebabnya ada suami yang suka memutarbelitkan kata-kata dengan niat mempermainkan dan menyusahkan hidup isteri juga anak-anak sehingga terpaksa turun naik mahkamah," keluh Rosmalena.
''Sebenarnya saya sudah membawa kes suami menceraikan saya di luar mahkamah ke Mahkamah Syariah, tetapi macam biasalah bila mahkamah panggil dia tak pernah mahu datang. Akhirnya bila datang mahkamah dia bertindak menafikan telah menceraikan saya. Penafiannya buat saya terpaksa beberapa kali turun naik mahkamah. Akhirnya Mahkamah Syariah putuskan bahawa saya tidak diceraikan.
''Tetapi kerana saya yakin dan percaya bahawa dia menceraikan saya dalam keadaan sihat, sedar dan tidak ada paksaan, saya membuat rayuan.. Kisah turun naik mahkamah memang membuat saya hampir gila. Keputusan tetap sama.
''Lebih malang baru-baru ini rayuan saya ke Mahkamah Tinggi juga ditolak atas alasan tak ada saksi. Lebih teruk mahkamah cadangkan saya buat tuntutan fasakh pula!
''Saya betul-betul kecewa dengan permaianan ini. Semua orang tau Allah benci perceraian dan sayapun bukannya minta cerai tetapi hanya mempertahankan maruah dan hak selepas suami menceraikan saya di rumah.
''Mahkamah memutuskan tidak berlaku perceraian kerana ketiadaan saksi dan suami telah angkat sumpah istizhar. Maka kerana sumpah itu semua bukti yang saya kemukakan ditolak.
''Macam mana saya nak bawa bukti kerana beberapa orang kekasihnya tak mahu jadi saksi. Bukti lain melalui SMS di telefon saya telah dihapuskannya. Anak-anak saya sendiri lihat dia delete bukti di telefon saya.
''Untuk mengesahkan dakwaan itu, saya buat aduan polis tentang kejadian yang berlaku. Malangnya Mahkamah Tinggi tidak mahu terima laporan polis yang saya kemukakan sebaliknya mempersoalkan seolah-olah saya telah buat laporan palsu. Mahkamah langsung tidak menyoal suami saya ketika menjatuhkan hukuman.
''Apa yang saya perhatikan, sebanyak manapun hujah dan bukti dikemukakan, semuanya akan ditolak jika suami angkat sumpah. Saya tidak kesal kalau mahkamah ingatkan suami saya ''jika awak mengangkat sumpah tetapi bercakap bohong kerana telah menceraikan isteri awak, maka awak akan dianggap berzina dengan isteri awak!''
''Agaknya jika nasihat itu diberi mungkin dia tidak berani angkat sumpah dan mempermainkan Mahkamah Syariah. Saya hairan mengapa dia sanggup bohong sedangkan dia memang ada kekasih dan sering tidur di rumah kekasihnya," katanya.
Melalui ruangan ini Rosmalena ingin bertanya mengapa begitu mudah mahkamah menerima sumpah seorang suami tanpa mengambil kira bukti, hujah dan kredibiliti lelaki itu.
Rayuan
''Mahkamah juga memutuskan jika saya tak puas hati boleh buat rayuan. Saya boleh buat rayuan kali kedua tapi kalau keputusannya masih suruh suami angkat sumpah nak buat apa? Buang masa, tenaga dan duit saja. Dia pasti angkat sumpah tanpa takut. Lebih sedih dan sakit hati mahkamah cadangkan saya buat tuntutan fasakh pula.
''Saya bukan nak mengajar tetapi mahkamah terlupa agaknya, dulu pada peringkat awal saya memang buat tuntutan fasakh tetapi saya terpaksa tarik balik bila suami kata dia akan lafazkan cerai di mahkamah.
''Alasan mahkamah ketika itu prosedur mahkamah tidak benarkan tuntutan fasakh dan tuntutan sah lafaz cerai dibuat serentak. Jadi saya disuruh tarik tuntutan fasakh. Seterusnya bila ke mahkamah lagi suami saya nafikan telah ceraikan saya. Jelas dia bohong. Agaknya mahkamah terlupa dan terkhilaf kot! Kini sudah empat tahun berlalu kalau saya buat tuntutan fasakh baru seperti yang disuruh, agaknya berapa tahun lagi saya kena tunggu?
''Yang untung peguam. Suami pun untung tak perlu bayar nafkah anak-anak selagi kes perceraian tak selesai. Bagi saya keputusan ini memang nak membodohkan dan menyusahkan wanita. Lebih teruk terima masalah ialah anak-anak, sebab makan minum mereka terpaksa saya sekat sebab terpaksa kumpul duit untuk bayar peguam dan belanja turun naik mahkamah," tambahnya.
Apa yang menyakitkan hati Rosmalena, sebaik sahaja keputusan mahkamah pertama kali dulu memihak kepadanya, suami dengan egonya berumahtangga di rumah kekasihnya.
"Bukan saya marah, tetapi ini membuktikan dia memang seorang pembohong. Baru-baru ini selepas menang, dia dan kakaknya suruh saya failkan tuntutan cerai dan tanda tangan surat mengaku tidak akan kemukakan sebarang tuntutan mahkamah termasuk nafkah anak dan harta sepencarian.
''Dia kata peguam dia yang ajar dia buat begitu! Saya bukan bodoh! Kalau tak buat tuntutan sah dia tuduh saya isteri nusyuz atau durhaka dan dia akan dapat dua buah rumah murah yang sudah selesai ansurannya atas nama saya. Takkan saya nak beri pada dia. Rumah sekarang yang belum selesai ansurannya dia nak ambil. Apa dia mahu bayar ansuran? Kalau dia tak bayar, saya pula yang diisytihar muflis. Saya yang bodoh atau peguamnya yang kurang cerdik?
''Dia pernah telefon emak ayah saya, di hadapan saya dan kakaknya mengatakan dia akan ceraikan saya. Tetapi di mahkamah dia menafikan. Taktik terbarunya dia suruh saya buat pengakuan bertulis berbunyi; ''saya tidak akan tuntut apa-apa pun dan keluar dari rumah sehelai sepinggang jika saya mahu diceraikan.'' Jelas dia nak perbodohkan saya.
''Kini keputusan saya jika tak mahu ceraikan saya, sila jawab dengan Allah. Dia tanggung sumpahnya.
''Akhir sekali, saya ingin tanya jika cerai jadi mainan, adakah isteri itu nusyuz atau suami itu dayus? Pejabat agama wajib fikirkan masa depan anak-anak orang Islam supaya tidak merempat dan dianiaya,'' ujar Rosmalena menutup kisah pahitnya.
saya harap puan bersabar dengan apa yang terjadi ini,mungkin ada hikmah disebalik semua ini..percayalah puan,setiap perbuatan itu dilihat oleh ALLAh s.w.t.
BalasPadam