Oleh Fatin Hafizah Mohd Shahar
fatin@bharian.com.my
2011/09/24
Tidak guna berselindung di sebalik ego
KALAU anaknya
demam, ibu pasti bercekang mata menjaga hingga pulih. Walaupun penat
menjalankan tugas harian, kerisauan terhadap anak menyebabkan ibu lupa
segala lelah. Jika suami pula lesu dan tidak bertenaga, si isteri
jugalah yang akan bergegas ke klinik mahu pun farmasi untuk mendapatkan
ubat atau vitamin bagi mengembalikan kesegaran suaminya.
Jika rakan karibnya mengalami masalah, wanita akan sentiasa
melapangkan masa untuk mendengar apatah lagi menghulurkan `bahu’ sebagai
tempat untuk melepaskan kehancuran hati. Betapa sensitif wanita
terhadap kebajikan individu yang tersenarai dalam hidup mereka. Mereka
juga dikatakan lebih memahami dan mudah memaafkan walau masalah yang
dilalui terlalu perit untuk ditelan.
Hati wanita juga dikatakan begitu halus, hingga mereka mampu merasakan
kegembiraan juga kesedihan insan lain tanpa melakukan komunikasi. Hanya
menggunakan pandangan mata kasar, mereka lazimnya mampu meleraikan
teka-teki yang bermain dalam kotak pemikiran. Mungkin, itulah antara
kelebihan yang dianugerahkan Tuhan.
Berbeza dengan lelaki,
mereka kelihatan lebih tegas dan kasar dalam mengetuai kehidupan sekali
gus keluarga mereka sendiri. Sukar melihat seorang lelaki menitiskan air
matanya. Hanya perubahan air muka saja dapat menunjukkan perasaan yang
sedang dialami kaum Adam itu apatah lagi ingin melihat mereka memanjakan
atau menunjukkan kasih sayang yang dipendam.
Mungkin juga
adat dan tradisi pembesaran menjadikan lelaki lebih tabah dan berkeras
dalam setiap perkara dilalui berbanding dengan wanita yang lazimnya
dikaitkan dengan kelembutan.
Pakar motivasi, Datuk Dr Mohd
Fadzilah Kamsah berpendapat, lelaki tidak seharusnya terasa egonya
tercabar dalam menunjukkan kasih sayang mereka terhadap pasangan atau
termasuk keluarganya. Perasaan yang dimiliki boleh dibuktikan menerusi
kelakuan dan ia adalah lebih romantis serta dihargai kerana ia bukanlah
perkara yang memalukan atau melanggar didikan agama yang dianuti.
Dr Mohd Fadzilah berkata, sebalik perasaan malu atau hilang
‘macho’, perasaan sayang yang dibuktikan menerusi perbuatan juga adalah
satu cara terpuji dan berlandaskan sunnah Nabi, yang tidak segan silu
untuk membantu isterinya dalam menyelesaikan tugasan rumah, begitu juga
menunjukkan kasihnya dengan memegang dan membelai.
“Tiada
salahnya jika merendahkan ego dan menunjukkan kasih sayang kita terhadap
keluarga mahu pun pasangan. Tapi jangan pula melebihi batas, takut
nanti meluat pula pada pandangan umum. Nabi sendiri sanggup meluangkan
masa yang ada untuk membantu isterinya memandang tenaga yang dimiliki
lelaki lebih berbanding wanita.
“Ini secara tidak langsung
dapat meringan beban tugasan yang dijalani pasangan dan merapatkan
hubungan cinta antara dua pihak. Menunjukkan kasih sayang menerusi
tindakan membelai atau memanjakan tidak menjadikan lelaki itu dayus atau
dipandang lemah, bahkan membuatkan mereka lebih dihargai dan disanjungi
keluarga,” jelasnya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Menyambung penjelasannya, Dr Mohd Fadzilah memberitahu, mungkin lelaki
dilihat jarang atau susah menunjukkan maklum balas menunjukkan
sensitiviti mereka kerana didikan psikologi yang dibawa tidak mengajar
lelaki untuk berlembut dan merendahkan keegoan mereka.
“Berbeza dengan wanita, sudah menjadi sifat semula jadi mereka untuk
lebih prihatin dan membuktikan pengorbanan dan juga kemanjaan secara
spontan. Lelaki pula agak malu untuk memberitahu apatah lagi menunjukkan
mereka juga sebenarnya sensitif dan ingin dimanjakan atau memanjakan.
“Persekitaran dan cara bawakan diri di Asia mungkin agak berbeza
dengan barat yang sememangnya terkenal dengan sikap romantis mereka
terhadap pasangan dan keluarga. Kita di sini, jauh lebih kekok dan
janggal untuk menunjukkan apa yang dirasai bahkan lebih suka berdiam
bagi menjaga imej sendiri,” jelasnya sebelum menamatkan perbualan.
Berlandaskan pengalaman membesar dalam keluarga yang agak rapat dan
mesra, Fun Ng yang juga seorang kakitangan industri teknologi maklumat
memberitahu bapanya adalah seorang lelaki yang paling disanjungi dan
dihormati kerana sikap tanggungjawab bapanya.
Jelasnya,
bapanya adalah seorang yang sangat penyayang dan penyabar. Dia juga
menunjukkan kasih sayangnya menerusi kelakuannya begitu juga secara
lisan. Biarpun penat bekerja seharian, bapanya akan pastikan dirinya
meluangkan masa bersama anak sebelum mereka masuk tidur.
Menyambung kata-kata, wanita itu memberitahu walaupun sudah berusia 28
tahun, bapanya masih mencium dahinya setiap kali dia pulang ke kampung
dan mereka juga masih meluangkan masa menonton televisyen bersama begitu
juga bersantai di tempat kegemaran mereka.
“Mungkin saya
boleh katakan diri ini sebagai bertuah kerana memiliki bapa sepertinya.
Dia amat memanjakan kami dan dia tidak pernah cuba berselindung di
sebalik keegoannya sebagai ketua keluarga. masih ingat betapa cemasnya
ketika saya demam, dia yang bercekang mata menjaga sehingga saya pulih
sepenuhnya.
“Ayah juga jauh lebih sensitif, dia akan menangis
selepas menghukum kami atas kesalahan yang dilakukan. Kelembutannya
menjadikan kami adik beradik sangat takut untuk melukakan hatinya.
Sikapnya juga mengajar kami erti kasih sayang dan keutuhan kekeluargaan.
“Lain pula ceritanya untuk ibu saya. Dia agak tegas dan garang,
lazimnya di waktu kanak-kanak dulu jika sedikit kesilapan berlaku, rotan
akan terus hinggap ke paha. Biarpun kami kami menangis tersedu-sedu
tidak dihirau bahkan lagi dimarahi ibu. Dia juga sukar dibawa berbincang
berbanding ayah yang sentiasa sudi mendengar dan berbincang dengan kami
dalam apa juga bentuk perbualan,” jelasnya ketika ditemui.
Cerita yang dikongsi Rohaidah Mat Rahman pula berbeza. Pengalamannya
membesar dalam keluarga yang diuruskan ibunya tanpa bantuan ayah yang
tegas dan garang membuatkan dia agak fobia untuk menjalinkan hubungan
walaupun kini sudah berusia 30 tahun.
Wanita yang juga
seorang pendidik itu berkata, dirinya masih tidak mengerti mengapa
bapanya perlu terlalu keras terhadap keluarga kecil yang dibinanya itu.
“Dari kecil lagi, bapa tidak pernah memanjakan kami dan saya tidak
ingat bila dia mencium saya apatah lagi memangku saya. Walaupun saya
anak tunggal dalam keluarga, saya tidak diberikan layanan istimewa
olehnya.
“Ayah jarang bercakap apabila berada di rumah, tapi
dia ramah melayan rakannya apabila dia melepak di luar. Dia juga tidak
pernah memuji atau meluangkan masa bersantai dengan saya, apatah lagi
datang ke sekolah untuk mengambil penyata rekod saya walaupun keputusan
saya cemerlang. Dia juga jarang sekali bergelak ketawa dengan telatah
saya.
“Riak wajahnya sentiasa serius. Mungkin itu caranya
untuk menunjukkan sikap pembimbing keluarga dan juga seorang bapa supaya
saya tidak mengambil kesempatan terhadap kedudukan saya sebagai anak
tunggal dalam keluarga,” katanya.
Menyambung penjelasannya,
sepanjang pembesaran ibu yang banyak berkorban dan membuktikan kasih
sayang itu wujud dalam institusi kekeluargaan. Ibunya juga teman
karibnya dan tempat untuk dia mengadu serta berkongsi setiap detik manis
atau pahit.
“Sehingga kini, saya masih takut untuk
menjalinkan hubungan serius dengan mana-mana teman lelaki, memandangkan
pengalaman dilalui saya menjadi igauan ngeri. Saya tidak mahu anak saya
kelak melalui pengalaman serupa.
“Bagaimanapun, saya tidak
menyalahkan bapa dengan caranya menunjukkan ketegasannya, mungkin
padanya itu terbaik untuk memastikan keutuhan sistem kekeluargaan
terjamin. Tapi, alangkah manisnya jika dia boleh berlembut dan cuba
untuk mendekati kami dengan menunjukkan sikap romantis serta penyayang
kepada kami,” katanya menamatkan perbuala