Sabtu, 18 Februari 2012

Menghadapi tekanan secara Islam

RAMAI yang tertekan serta menderita apabila mengalami peristiwa atau musibah seperti kerosakan harta benda, kehilangan atau kegagalan dalam kerjaya, percintaan atau rumah tangga dan sebagainya.
Musibah atau tekanan adalah satu peristiwa yang ditakuti dan tidak dikehendaki oleh mana-mana individu di dalam kehidupan seharian.

Majoriti daripada kita akan bertindak-balas secara spontan sama ada mengeluh, memaki-hamun dan marah terhadap seseorang malah ada pula yang marah kepada takdir Tuhan.

Individu yang terbabit dengan musibah mengalami gejala-gejala tekanan seperti bimbang, hilang tumpuan, cepat marah, tidak dapat tidur, hilang selera makan dan lain-lain lagi.

Berdasarkan personaliti serta cara seseorang menangani sesuatu tekanan, ada yang merasakan kehidupannya sudah tidak bererti, menjadi panik dan merasakan yang dunia ini kejam terhadapnya.
Situasi ini akan lebih menyakitkan apabila ada pula insan sekeliling yang memberi ulasan-ulasan negatif.
Sering dikatakan musibah didatangkan sebagai hukuman atau peringatan daripada Allah SWT tetapi hakikat dan tujuan yang sebenar, hanya Allah yang maha mengetahui.

Bolehkah kita mentakrifkan apa yang ditentukan Allah SWT mungkin benar atau sebaliknya?
Lupakah kita ujian-ujian yang dilalui oleh para sahabat Rasulullah dan para nabi jauh lebih hebat dan apakah mereka ini melakukan banyak kesalahan serta kita lebih baik daripada mereka?

Tetapi sebagai seorang Islam, kenapa kita tidak melihat dan pelajari akan apa yang difirmankan Allah SWT di dalam al-Quran serta sunah Rasulullah melalui hadisnya.

Allah SWT menegaskan dalam surah al-Baqarah ayat 286, bahawa Dia tidak memberatkan seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

Ini bermakna setiap individu yang mengalami musibah tersebut akan mampu mengatasinya .
Kerap seseorang individu menjadi kecewa, marah dan susah hati apabila sesuatu hajat yang diingini tidak berjaya atau sesuatu perkara lain pula yang berlaku.

Mereka lupa akan firman Allah SWT; ”Adakalanya sesuatu itu tidak baik bagimu meskipun kamu begitu menghendakinya dan adakala pula sesuatu itu baik bagimu meskipun kamu tidak menyukainya, sesungguhnya aku mengetahui tetapi kamu tidak mengetahuinya”.

Kita terlalu mengharapkan keseronokan, kemudahan serta kenikmatan dunia, sudah tentu ia tidak salah kerana itu adalah sifat naluri seseorang manusia.

Allah SWT juga menyuruh kita berbuat demikian seperti firmannya; “Dan hendaklah kamu mencari kebaikan akhirat dan jangan lupa habuan kamu di dunia.”

Masalahnya, ramai di antara kita tidak mempedulikan janji Allah SWT tentang kehidupan akhirat yang mana ia adalah kehidupan yang kekal sebenarnya dan lebih baik.

Jika kita benar bertakwa dan yakin, majoriti daripada tekanan yang kita alami tidak memerlukan kita bersedih dan merasa kecewa yang melampau bahkan dapat melihatnya secara lebih positif.

Pun begitu, janganlah ada antara kita beranggapan kita tidak memerlukan rawatan dan ubat-ubatan bahkan menasihati ahli keluarga atau rakan yang mengalami tekanan untuk tidak mendapatkan rawatan memadai hanya dengan reda.

Ramai antara kita yang tersalah faham mengenai konsep reda dalam Islam. Reda pada Islam bukan bererti menyerah bulat-bulat kepada takdir tanpa disusuli dengan usaha dan ikhtiar.

Sikap terbuka

Ubat-ubatan dan kaunseling akan melengkapkan proses pemulihan emosi seseorang individu.
Dapatkan nasihat daripada mereka yang mempunyai pengalaman mengatasi masalah tersebut, berkongsilah masalah anda dengan saudara-mara atau rakan karib atau mana-mana individu yang anda percaya dapat membantu.

Cubalah amalkan mengambil sikap terbuka dan fikirlah secara positif dan objektif dalam usaha menyelesaikan sesuatu kesulitan.

Bermula sekarang, kita harus mengambil pendekatan tidak mengeluh bahkan banyakkanlah menyebut Allahuakbar, Subhanallah, Astaghfirullah berulang-kali kerana jika kita mengeluh, memaki hamun contohnya apabila terpijak paku, kita meneriak celaka sambil memaki hamun, percayalah kita akan lebih merasa sakit.
Gambar dari Cyberslimcenter

Tetapi jika kita ingat dan yakin akan apa yang diberitahu Allah SWT dan ajaran Rasulullah, kita akan merasa kurang sakit, reda serta mendapat limpahan keampunan dan rahmat Allah SWT. Kita hendaklah bersabar dan banyak berdoa serta dapatkan rawatan dan pertolongan supaya kita beroleh kejayaan, di dunia apalagi di akhirat.

Jumaat, 17 Februari 2012

Sindrom lelaki ‘menopaus’

Utusan Online

Soalan: BolehKAH Doktor terangkan mengenai andropaus dan kesannya kepada masalah lelaki?
*Jo, Kuala Lumpur


Saudara Jo,
Pertama, saya perlu maklumkan bahawa perkataan atau terma andropaus sebenarnya tidak begitu tepat. Secara fisiologinya, orang lelaki adalah berbeza dengan wanita.

Apabila wanita putus haid, hilanglah keupayaan reproduktif mereka iaitu untuk mengandung dan melahirkan anak. Maka berlakulah apa yang sering disebutkan sebagai menopaus atau situasi apabila paras hormon estrogen menjadi terlalu rendah.

Simptom seperti keletihan, sakit sendi, kurang nafsu dan faraj kering boleh timbul sejurus sebelum putus haid atau selepas berlakunya putus haid.

Bagi lelaki, penurunan paras hormon testosteron berlaku secara perlahan-lahan bermula akhir 30-an atau awal 40-an dan berterusan ke akhir hayat. Keadaan ini dipanggil sindrom kurang hormon testosteron.



Penurunan hormon testosteron ini boleh berlaku amat perlahan atau mendadak ke paras yang sangat rendah sehingga memberikan simptom yang ringan, sederhana mahupun teruk. Corak penurunan ini banyak bergantung kepada tahap kesihatan seseorang lelaki itu.

Contohnya, jika anda menghadapi masalah kegemukan, darah tinggi, kencing manis dan penyakit jantung, maka paras hormon akan menjadi sangat rendah manakala jika anda mengamalkan corak kehidupan yang positif dan sihat, maka paras hormon tersebut mungkin tidak menurun atau menurun dengan kadar sangat perlahan malah mungkin tidak ada simptom langsung.

Simptom yang biasa berlaku kepada lelaki hampir sama dengan simptom menopaus dialami wanita iaitu keletihan, sakit sendi, cepat mendapat tekanan, kurang nafsu atau libido, kurang kekerasan zakar dan air mani serta banyak lagi simptom yang tidak begitu spesifik.

Doktor perlu mengenal pasti penyakit yang dihadapi dengan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan penyiasatan ujian darah sebelum mengesahkan seseorang lelaki itu menghadapi masalah andropaus. Kini, banyak rawatan yang terbukti memberi kesan positif terhadap kualiti kehidupan seseorang lelaki dan pasangan mereka.

Jika saudara ingin maklumat lanjut, jumpalah doktor dan dapatkan nasihat lanjut. Dalam pada itu jangan lupa amalkan cara hidup sihat dan positif dalam kehidupan seharian

Khamis, 16 Februari 2012

Solat, makan bersama bawa bahagia




Dalam era dunia serba canggih sekarang ini, laman sosial seperti Facebook dan Twitter mahupun kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) menjadi pilihan kepada pasangan kekasih untuk berhubung bagi mengeratkan cinta.

Justeru tiada lagi nota-nota cinta di atas helaian kertas melalui kiriman surat sebagaimana pasangan dulu-dulu. Ketika itu segala luahan hati dan perasaan sayang mampu dirasai walau masing-masing terpisah jauh jarak beribu batu.

Saat manis berutus dan berbalas surat turut dialami oleh pasangan bahagia ini yang usia perkahwinan mereka kini sudah menjangkau 21 tahun.

Pasangan pemilik perusahaan ternakan haiwan, MJ Fatonah Sdn. Bhd., Mohamad Jamil Mahidin, 43, dan isteri, Siti Fatonah Arbain, 42, mempunyai kisah cinta tersendiri yang mampu membuat mereka tersenyum apabila diingat kembali.

Bibit perkenalan bermula ketika pertama kali pada minggu suai kenal pelajar baru di Politeknik Batu Pahat, Johor.

Ketika itu Mohamad Jamil baru habis mengikuti latihan industri manakala Siti Fatonah adalah pelajar yang baru mendaftar.

Namun ketika itu belum timbul sebarang perasaan cinta antara mereka, sekadar mengetahui bahawa mereka tinggal sekampung di Sabak Bernam, Selangor.

Pertemuan kedua juga berlaku secara kebetulan ketika sama-sama menghantar seorang saudara ke lapangan terbang yang kemudian menjadi titik tolak permulaan kisah cinta mereka.

Di mata Mohamad Jamil ketika itu Fatonah nampak 'rock' kerana hanya berbaju T dan berseluar jeans.
Langkah berani Fatonah meminta alamat Mohamad Jamil bertujuan meminta nota daripada 'seniornya' itu telah membuka lembaran baru kepada perhubungan mereka berdua.

"Daripada tujuan asal hanya ingin meminta nota lama-kelamaan telah timbul perasaan sayang antara satu sama lain.

"Sehinggalah sampai satu tahap kami wajib mengutus surat setiap hari walau lambat sampai.
"Daripada surat itulah saya yakin dia sangat menyayangi saya. Melalui tulisannya saya nampak dia ikhlas dan mengambil berat walaupun pada awalnya saya ingat dia sombong dan 'bermulut laser'.

"Kebetulan sebelum ini kebanyakan lelaki yang ingin berkawan dengan saya tidak ikhlas dan hanya ingin mengambil kesempatan.

"Berbeza dengan dia yang nampak jujur sehingga membuka hati saya untuk membawanya berjumpa keluarga.

"Sangat beruntung mengenali Jamil kerana dia memenuhi ciri lelaki idaman saya iaitu tidak merokok, tidak suka memancing dan tidak gemar menonton perlawanan bola sepak," kata Fatonah yang merupakan pengurus MJ Fatonah Sdn. Bhd.

Setelah setahun berkawan akhirnya mereka bertunang yang cuma mengambil masa tiga minggu sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin pada 15 Jun 1991.

Sementara itu, secara berseloroh Mohamad Jamil mengakui, dia tertarik dengan Fatonah kerana bentuk badannya yang tidak kurus dan tidak gemuk.

Namun, keikhlasan Fatonah yang sebenar-benarnya membuka hati Mohamad Jamil untuk untuk menyunting wanita itu sebagai suri hatinya.

"Kami berkahwin sebaik saja saya menamatkan pengajian, kerja pun belum ada. Tetapi agaknya kerana rezeki perkahwinan, seminggu selepas itu saya dapat kerja walaupun jauh di Skudai, Johor.

"Selama setahun kami terpaksa tinggal berasingan kerana isteri saya masih belajar dan seminggu sekali saya berulang alik dari rumah di Sabak Bernam ke Johor setiap minggu untuk berjumpa dengannya," katanya.

Mengulas mengenai penglibatan mereka dalam bidang perniagaan, pasangan itu sanggup berhenti kerja kerana minat yang mendalam terhadap bidang penternakan selain faktor tekanan ketika bekerja di tempat lama.

Menurut Mohamad Jamil, kerja bersama-sama banyak kelebihannya kerana mereka boleh berbincang secara cepat dan bertukar pendapat secara bebas jika ada masalah terlintas terutama mengenai masalah syarikat.

"Walauapun sentiasa menghabiskan masa bersama, langsung tidak timbul rasa jemu di antara satu sama lain malah mengeratkan lagi perasaan kasih sayang antara kami berdua," kata Mohamad Jamil yang merupakan anak bongsu daripada 11 orang adik beradik.

Tambahnya, bagi memastikan rumah tangga sentiasa diberkati mereka sentiasa amalkan solat dan makan secara berjemaah di samping mementingkan kualiti masa bersama keluarga.

Hasil perkongsian dua jiwa ahli perniagaan ini telah memperolehi dua orang cahayamata iaitu Muhammad Khairul, 19, dan Muhammad Khairunnas, 15

Rabu, 15 Februari 2012

Isteri nusyuz atau suami dayus

Utusan Online

SAYA mohon pihak berwajib bukalah mata dan lihat sendiri masalah kami, wanita yang digantung tak bertali bukan sahaja oleh suami tetapi oleh Mahkamah Syariah.

Gambar dari Perkara Cerai


''Sebabnya ada suami yang suka memutarbelitkan kata-kata dengan niat mempermainkan dan menyusahkan hidup isteri juga anak-anak sehingga terpaksa turun naik mahkamah," keluh Rosmalena.
''Sebenarnya saya sudah membawa kes suami menceraikan saya di luar mahkamah ke Mahkamah Syariah, tetapi macam biasalah bila mahkamah panggil dia tak pernah mahu datang. Akhirnya bila datang mahkamah dia bertindak menafikan telah menceraikan saya. Penafiannya buat saya terpaksa beberapa kali turun naik mahkamah. Akhirnya Mahkamah Syariah putuskan bahawa saya tidak diceraikan.

''Tetapi kerana saya yakin dan percaya bahawa dia menceraikan saya dalam keadaan sihat, sedar dan tidak ada paksaan, saya membuat rayuan.. Kisah turun naik mahkamah memang membuat saya hampir gila. Keputusan tetap sama.

''Lebih malang baru-baru ini rayuan saya ke Mahkamah Tinggi juga ditolak atas alasan tak ada saksi. Lebih teruk mahkamah cadangkan saya buat tuntutan fasakh pula!

''Saya betul-betul kecewa dengan permaianan ini. Semua orang tau Allah benci perceraian dan sayapun bukannya minta cerai tetapi hanya mempertahankan maruah dan hak selepas suami menceraikan saya di rumah.

''Mahkamah memutuskan tidak berlaku perceraian kerana ketiadaan saksi dan suami telah angkat sumpah istizhar. Maka kerana sumpah itu semua bukti yang saya kemukakan ditolak.

''Macam mana saya nak bawa bukti kerana beberapa orang kekasihnya tak mahu jadi saksi. Bukti lain melalui SMS di telefon saya telah dihapuskannya. Anak-anak saya sendiri lihat dia delete bukti di telefon saya.

''Untuk mengesahkan dakwaan itu, saya buat aduan polis tentang kejadian yang berlaku. Malangnya Mahkamah Tinggi tidak mahu terima laporan polis yang saya kemukakan sebaliknya mempersoalkan seolah-olah saya telah buat laporan palsu. Mahkamah langsung tidak menyoal suami saya ketika menjatuhkan hukuman.

''Apa yang saya perhatikan, sebanyak manapun hujah dan bukti dikemukakan, semuanya akan ditolak jika suami angkat sumpah. Saya tidak kesal kalau mahkamah ingatkan suami saya ''jika awak mengangkat sumpah tetapi bercakap bohong kerana telah menceraikan isteri awak, maka awak akan dianggap berzina dengan isteri awak!''

''Agaknya jika nasihat itu diberi mungkin dia tidak berani angkat sumpah dan mempermainkan Mahkamah Syariah. Saya hairan mengapa dia sanggup bohong sedangkan dia memang ada kekasih dan sering tidur di rumah kekasihnya," katanya.

Melalui ruangan ini Rosmalena ingin bertanya mengapa begitu mudah mahkamah menerima sumpah seorang suami tanpa mengambil kira bukti, hujah dan kredibiliti lelaki itu.

Rayuan

''Mahkamah juga memutuskan jika saya tak puas hati boleh buat rayuan. Saya boleh buat rayuan kali kedua tapi kalau keputusannya masih suruh suami angkat sumpah nak buat apa? Buang masa, tenaga dan duit saja. Dia pasti angkat sumpah tanpa takut. Lebih sedih dan sakit hati mahkamah cadangkan saya buat tuntutan fasakh pula.

''Saya bukan nak mengajar tetapi mahkamah terlupa agaknya, dulu pada peringkat awal saya memang buat tuntutan fasakh tetapi saya terpaksa tarik balik bila suami kata dia akan lafazkan cerai di mahkamah.

''Alasan mahkamah ketika itu prosedur mahkamah tidak benarkan tuntutan fasakh dan tuntutan sah lafaz cerai dibuat serentak. Jadi saya disuruh tarik tuntutan fasakh. Seterusnya bila ke mahkamah lagi suami saya nafikan telah ceraikan saya. Jelas dia bohong. Agaknya mahkamah terlupa dan terkhilaf kot! Kini sudah empat tahun berlalu kalau saya buat tuntutan fasakh baru seperti yang disuruh, agaknya berapa tahun lagi saya kena tunggu?

''Yang untung peguam. Suami pun untung tak perlu bayar nafkah anak-anak selagi kes perceraian tak selesai. Bagi saya keputusan ini memang nak membodohkan dan menyusahkan wanita. Lebih teruk terima masalah ialah anak-anak, sebab makan minum mereka terpaksa saya sekat sebab terpaksa kumpul duit untuk bayar peguam dan belanja turun naik mahkamah," tambahnya.

Apa yang menyakitkan hati Rosmalena, sebaik sahaja keputusan mahkamah pertama kali dulu memihak kepadanya, suami dengan egonya berumahtangga di rumah kekasihnya.

"Bukan saya marah, tetapi ini membuktikan dia memang seorang pembohong. Baru-baru ini selepas menang, dia dan kakaknya suruh saya failkan tuntutan cerai dan tanda tangan surat mengaku tidak akan kemukakan sebarang tuntutan mahkamah termasuk nafkah anak dan harta sepencarian.

''Dia kata peguam dia yang ajar dia buat begitu! Saya bukan bodoh! Kalau tak buat tuntutan sah dia tuduh saya isteri nusyuz atau durhaka dan dia akan dapat dua buah rumah murah yang sudah selesai ansurannya atas nama saya. Takkan saya nak beri pada dia. Rumah sekarang yang belum selesai ansurannya dia nak ambil. Apa dia mahu bayar ansuran? Kalau dia tak bayar, saya pula yang diisytihar muflis. Saya yang bodoh atau peguamnya yang kurang cerdik?

''Dia pernah telefon emak ayah saya, di hadapan saya dan kakaknya mengatakan dia akan ceraikan saya. Tetapi di mahkamah dia menafikan. Taktik terbarunya dia suruh saya buat pengakuan bertulis berbunyi; ''saya tidak akan tuntut apa-apa pun dan keluar dari rumah sehelai sepinggang jika saya mahu diceraikan.'' Jelas dia nak perbodohkan saya.

''Kini keputusan saya jika tak mahu ceraikan saya, sila jawab dengan Allah. Dia tanggung sumpahnya.
''Akhir sekali, saya ingin tanya jika cerai jadi mainan, adakah isteri itu nusyuz atau suami itu dayus? Pejabat agama wajib fikirkan masa depan anak-anak orang Islam supaya tidak merempat dan dianiaya,'' ujar Rosmalena menutup kisah pahitnya.

Selasa, 14 Februari 2012

Oleh-oleh istimewa majlis kahwin

Kosmo!



CAKAR ayam merupakan salah satu kuih tradisional yang enak dijadikan snek minum petang yang dihidangkan bersama teh. Bentuknya bulat dan berwarna coklat. Kuih tradisional ini diperbuat daripada ubi keledek.
Kepada yang belum pernah merasanya, kuih cakar ayam mempunyai tekstur yang rangup dan manis. Snek ringan ini selain dihidangkan kepada tetamu, ia juga dijadikan buah tangan istimewa kepada tetamu pada majlis perkahwinan menggantikan bunga telur.
Bahkan, ada yang menjadikan kuih cakar ayam berbentuk sarang burung sebagai pengganti bekas telur.
Ia bukan sahaja unik malah menjimatkan kerana anda bukan sahaja dapat menikmati telur bahkan bekasnya juga boleh dimakan.
Norini Mohamad, 55, merupakan salah seorang pengusaha kuih cakar ayam di Parit Punggur Darat, Jalan Seri Tanjung, Muar, Johor. Pada satu pertemuan dengan Kosmo! baru-baru ini, Norini kelihatan begitu sibuk menyagat keledek dengan mesin sagat dari Taiwan yang sangat berjasa kepadanya.
Ubi keledek
Keledek-keledek yang dikupas disagat halus-halus menjadi bentuk seperti mi. Sebelum mempunyai mesin sagat, Norini melakukan proses menyagat keledek dengan tangan. "Dengan menggunakan mesin sagat ini, kerja-kerja menyagat menjadi mudah, senang dan pantas," ujarnya.
Jelas Norini, kuih cakar ayamnya menggunakan ubi keledek. Dia pernah cuba menggunakan keledek kuning, namun hasilnya tidak banyak. Begitu juga ubi kayu, ia menyebabkan proses membuat snek tersebut semakin sukar kerana kandungan kanji yang terdapat dalam ubi kayu tersebut.
Memulakan perniagaan cakar ayam ini sejak 15 tahun lalu, ibu kepada Mohamad Norasif Anuar, 29, dan Mohamad Norhalim Anuar, 21, belajar membuat cakar ayam daripada ibunya.
Sebelum ini dia hanya menjalankan bisnes snek tersebut secara kecil-kecilan. Namun, seiring peredaran masa, cara pembuatan snek itu juga berubah. Cerita Norini, bagi meningkatkan kualiti cakar ayamnya, dia kerap melakukan eksperimen. Semua itu dilakukan untuk memastikan cakar ayamnya lebih enak dan tahan lama.
Menurut Norini, idea untuk menghasilkan kuih cakar ayam berbentuk sarang burung diperoleh sejak lima tahun lalu. Sejak itu, permintaan terhadap cakar ayam sarang burung semakin bertambah.

NORINI menggunakan mesin untuk menyagat ubi keledek.


"Ketika itu adik saya mahu bertunang, jadi saya terfikir bagaimana untuk menggantikan bekas telur yang lazimnya dibuang.
"Jadi, saya terfikir untuk membentuk kuih cakar ayam. Saya menggunakan bekas untuk menghasilkan bentuk sarang burung kerana terfikir burung bertelur dalam sarang," katanya yang mencuba lebih 10 kali untuk mendapatkan bentuk sarang burung yang sempurna.
Jelas Norini, proses membuat cakar ayam ini bermula dengan membasuh keledek sebelum ia dikupas.
Dia yang mengusahakan makanan ringan lain seperti kerepek pisang, tepung jejari udang, rempeyek tumpi dan kacang menjelaskan, keledek itu kemudiannya disagat.
Selepas proses menyagat, ubi keledek yang disagat itu digoreng hingga rangup.
Gula tebu
Kemudian, air gula dimasukkan dan adunan dikacau tanpa henti hingga gorengan sebati dengan gula sebelum diangkat serta ditoskan minyaknya.
"Ia kemudian dibentuk menjadi sarang burung dengan acuan plastik. Bahagian tengahnya ditekan dengan kayu yang dibentuk seperti anak lesung untuk menghasilkan lubang," katanya proses tersebut dilakukan ketika adunan masih panas.
Menurut Norini, untuk mendapatkan cakar ayam yang enak rasanya, dia menggunakan campuran gula tebu dan gula biasa. Gula tebu menurutnya, memberikan rasa lemak dan enak walaupun gula tebu sukar diurus kerana mengandungi banyak bendasing seperti hampas tebu dan pasir.

KELEDEK perlu disagat halus seperti mi sebelum ia digoreng hingga ranggup.


Memandangkan proses mengurus gula tebu ini agak rumit dan leceh, ia menyebabkan tidak ramai pengusaha mahu menggunakan bahan tersebut. Namun, dia mempunyai kaedah tersendiri untuk mengasingkannya.
"Gula tebu dimasak dengan api yang kuat sehingga berbuih. Buihnya kemudian dibuang kerana segala bendasing yang ringan akan terapung bersama-sama buih," ujarnya.
Setelah gula tebu dimasak, lapisan tengah sahaja diambil dan ditapis dengan kain. Lapisan paling bawah dibuang kerana terdapat mendapan batu dan pasir.
Norini memberitahu, campuran gula dan keledek juga perlu seimbang, jika tidak cakar ayam akan berderai dan tidak melekat.
"Biasanya 300 gram keledek menggunakan satu senduk besar air gula. Apa yang penting, gula dan keledek perlu seimbang. Kalau guna gula pasir, cakar ayam akan membentuk tetapi kalau kena panas ia akan lembik.
"Jika terlebih gula, cakar ayam akan keras. Jika cakar ayam liat maknanya keledek tidak digoreng rangup," katanya berkongsi tip.
Cuti sekolah
Kini, banyak tempahan cakar ayam sarang burung yang perlu dipenuhinya. Setiap hari Norini dibantu empat orang wanita dalam kalangan penduduk setempat. "Tempahan paling banyak diterima pada musim cuti sekolah. Selain tempahan biasa, ada juga pemborong yang mahu membelinya tetapi saya tidak dapat penuhi permintaan mereka kerana perlu terikat dengan tempahan," katanya jika ada mesin untuk membentuk cakar ayam, dia mampu meningkatkan pengeluarannya.
Saiz lubang pada bahagian tengah cakar ayam sarang burung mesti sama saiznya dengan sebiji telur ayam.
Sebiji cakar ayam sarang burung dijual pada harga 80 sen. Kata Norini, dia mengambil masa empat jam untuk memproses 40 kilogram ubi keledek menjadi cakar ayam sarang burung. Biasanya, dia akan memproses cakar ayam satu kuali besar yang menghasilkan 700 cakar ayam sarang burung sehari.
Bagi mendapatkan 1,000 cakar ayam sarang burung sehari, Norini dibantu oleh suami dan anak-anaknya.



Ditanya mengenai kelainan cakar ayam hasil air tangannya berbanding cakar ayam yang lain, Norini memberitahu perbezaan dapat dilihat dari segi rasa dan teksturnya. Penggunaan gula tebu menjadikan cakar ayamnya lebih sedap, lemak dan harum.
Kuih buatan Norini juga tahan lama dan hayatnya selama tiga bulan. Dia pernah menerima tempahan sehingga 3,000 biji cakar ayam sarang burung.
Norini juga berkongsi pengalamannya memenuhi jemputan kenduri kahwin. Jelasnya, ada kalangan tetamu yang menyangka cakar ayam sarang burung itu adalah bekas telur kaca hingga melarang anak-anak mereka memakannya.
Dalam pada itu, suaminya, Mohd. Anuar Ahmad, 62, turut membantu Norini mengupas kulit keledek.
"Kami ada juga cuba untuk menanam sendiri ubi keledek, tetapi ia gagal kerana monyet-monyet liar merosakkan tanaman," ujarnya.

Isnin, 13 Februari 2012

Apakah terlarang bercinta sebelum kahwin?

DR MOHD ASRI
6 Januari 2012  Sinar Harian
Gambar dari Nerdy Bio Student
 Berciuman dan berpelukan cinta berahi antara pasangan di tepi jalan ataupun di khalayak ramai adalah perkara biasa di dunia Barat. Hidup bagaikan suami isteri tanpa kahwin adalah fenomena yang tidak asing. Sehingga dalam banyak jemputan, dijemput bersama spouses and partners. Memiliki anak tanpa perkahwinan bukanlah sesuatu yang ganjil. Sekalipun ini semua bukanlah budaya asal masyarakat Barat, tetapi trend hidup moden yang disuburkan oleh pelbagai faktor telah meruntuhkan banyak nilai-nilai tradisi yang pernah ada dalam masyarakat mereka dahulu. Ini termasuklah faktor eksploitasi naluri cinta dan seks oleh para pemodal; penerbit majalah, filem, ubat dan pelbagai lagi.

Apakah cinta itu seks? Apakah seks itu cinta? Perkataan cinta agak abstract. Ia boleh dipadankan kepada banyak perkara; cinta ALLAH, cinta keluarga, cinta negara, cinta seni dan selainnya. Cinta ertinya kasih, sayang dan ingin bersama. Dalam konteks lelaki dan wanita tentulah antara manifestasi cinta itu hubungan seks. Walaupun bukan semua yang melakukan seks itu bercinta, tapi seks itu utama dalam cinta pasangan. Maka ahli fekah pun mentakrifkan nikah itu sebagai akad yang menghalalkan persetubuhan. Suami yang tidak mampu melakukan seks boleh dipisahkan perkahwinan. Seks tidak keji, bahkan ia mendapat pahala jika mengikut peraturannya.

Cinta pasangan mendambakan seks; itu benar. Persoalannya; keinginan untuk melakukan seks semasa bila? Jika mengidamnya sebelum kahwin, itu salah. Jika mengidamnya selepas kahwin, itu pahala. Cinta atau kasih, bercinta atau berkasih sayang antara lelaki dan wanita yang ingin hidup bersama, itu normal. Cuma yang rumit, bagaimana mengawal dan menguruskan cinta.

Cinta dalam sejarahnya telah memeriahkan banyak kehidupan. Melahirkan banyak ungkapan indah puisi dan lagu. Ungkapan cinta dipetik dari zaman ke zaman. Ia dikongsi oleh hampir kesemua insan melainkan yang kontang fitrahnya. Dari Qais sehingga ke Celine Dion; ungkapan indah cinta antara lelaki dan wanita diulang-ulang oleh manusia. Ia sejagat. Ramai yang dah tua yang mengharamkan cinta untuk generasi muda hari, mereka pun pernah bercinta zaman mudanya.


Anti-cinta

Melihat kerosakan masyarakat, maka ada yang ‘kuat agamanya’ menyalahkan cinta. Lantas, jatuh cinta kepada seseorang yang boleh dikahwini dianggap bagaikan satu dosa. Pasti jika seseorang yang kuat agamanya jatuh cinta, atau berbicara tentang cintanya itu dianggap sebagai sesuatu yang pelik dan telah hilang kekuatan iman.

Maka tidak pelik jika ada yang bertanya: apa hukum bercinta? Jika ada ustaz yang kata ‘haram, punca syaitan dan budaya Barat maka sempitlah perasaan golongan hangat bercinta khusus yang masih muda. Mungkin ada yang akan kata dalam dirinya: ‘nanti tua sikit baru boleh aku kuat agama’. Ini kerana susah dia hendak meninggalkan cinta kepada kekasih yang diidami sebagai isteri. Mungkin ada yang kuat agama terlajak akan berkata:

“Kahwin teruslah. Cinta hanya lepas kahwin”. Tapi, si anak muda ini belum bekerja, belum mampu menyediakan belanja sebagai suami. Jika meminang pun, tentu bapa pasangan membantah. Hanya yang ada setakat ini ‘cinta’. Sama Juga yang sedang bertunang belum nikah sebab hendak selesaikan urusan belajar ataupun selain. Dalam tempoh itu mereka bercinta pastinya. Berutus surat, email dan sms. Isinya menggambarkan cinta. Jika bercinta haram melainkan setelah kahwin, maka tentu mereka semua hambar.


Jatuh cinta

Jika kita teliti nas-nas Islam, tiada dalil yang ALLAH dan Rasul-NYA mengharamkan mencintai seseorang yang ingin kita jadikan pasangan hidup. Bahkan al-Quran mengiktiraf cinta tersebut. Ini kerana jatuh cinta antara jantina yang berbeza adalah fitnah manusia. Ia bukan diada-adakan. Ia arus yang mengalir dalam jiwa tanpa boleh dihalang. Lihat firman ALLAH mengenai lelaki yang jatuh cinta kepada janda yang masih dalam edah kematian suami: (maksudnya) “dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang dalam edah kematian suami), atau tentang kamu menyimpan dalam diri (keinginan berkahwin dengan mereka). ALLAH mengetahui bahawa kamu akan mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis edah yang ditetapkan itu. dan ketahuilah sesungguhnya ALLAH mengetahui apa yang ada dalam dada kamu, maka beringat-ingatlah, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”. (Surah al-Baqarah: 235)

Ayat di atas membicara larangan meminang wanita dalam edah kematian suami sebelum tamat edahnya. Ini kerana hukum edah mempunyai banyak maslahah termasuk membabitkan perasaan keluarga bekas suami. Namun Allah tetap tidak melarang sindiran yang mempunyai maksud ingin meminang, juga tidak salah keinginan yang tersimpan dan perasaan yang selalu teringatkannya. Itu semua tanda ‘jatuh cinta’. Cumanya, ALLAH memerintahkan agar mengikut peraturan yang ditetapkan.


Rayuan cinta

Bahkan Nabi SAW pernah bersimpati dengan Mughith bekas suami Barirah yang masih mencintai isterinya itu. Tangisan dan rayuan cintanya mendapat simpati Nabi SAW. Dalam riwayat al-Bukhari daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas, katanya: “Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughith. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga air matanya mengalir atas janggutnya. Nabi SAW berkata kepada ‘Abbas: “Wahai ‘Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Mughith kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Mughith?”. Lalu Nabi SAW berkata (kepada Barirah): “Tidak mahu kah jika engkau kembali kepadanya”. Barirah berkata: “Apakah engkau memerintahkanku?”. Nabi s.a.w bersabda: “Aku hanya mencadangkan”. Kata Barirah: “Aku tidak memerlukan dia”.

Nabi SAW tidak melarang Mughith membuat rayuan cinta, bahkan bersimpati dan cuba memujuk Barirah. Namun Barirah enggan, maka tiada paksaan dalam cinta. Apakah kita pula menghalang puisi dan lagu cinta yang beradab yang ditujukan kepada seseorang kerana ingin memperisterikannya?


Dua kekasih

Nabi SAW tidak pernah membantah orang bercinta, sebaliknya cuba memastikan pasangan yang bercinta berakhir dengan perkahwinan. Seorang gadis yatim dipinang oleh dua orang lelaki. Seorang miskin dan seorang lagi kaya. Si gadis memilih yang miskin sedangkan penjaganya memilih yang kaya. Apabila hal ini diberitahu kepada Nabi SAW, baginda bersabda: “Aku tidak melihat (penawar) untuk dua orang yang bercinta seperti nikah” (riwayat al-Baihaqi dan Ibn Majah, sahih).

Kata al-Imam al-Munawi (meninggal) mengulas hadis ini: “Maksudnya ubat paling berkesan yang dapat merawati kerinduan ialah nikah. Ia adalah penawar yang tiada gantiannya jika ada jalan untuk mendapatkannya” (al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/584, Riyadh: Maktab al-Imam al-Syaifii’).

 Justeru itu, Nabi SAW memberikan pilihan untuk isteri memutuskan perkahwinan yang berlaku atas perasaan benci. “Seorang gadis dara datang kepada Nabi SAW memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka. Maka, Nabi SAW memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah , dinilai sahih oleh al-Albani).


Haram

Menyimpan rasa cinta antara lelaki dan perempuan tidaklah dilarang dalam agama ini. Di samping ia boleh berlaku di luar kawalan insan, ia adalah fitnah antara lelaki dan perempuan. Ia tidak songsang. Melafazkan rasa cinta seperti Mughith ungkapan kepada Barirah juga tidak dilarang. Bercinta seperti gadis yatim itu juga tidak dilarang. Puisi dan lagu cinta yang sopan juga tidak dilarang. Jadi apa yang dilarang?

Hanya yang dilarang adalah perbuatan zina. Kedua, -walaupun dosanya tidak seperti zina- perbuatan yang mendekati zina. Adapun bercinta yang masih mempunyai jarak antara antara lelaki dan wanita adalah fitrah insaniah. Menghalang fitrah itu boleh memberikan kesan yang buruk dalam jiwa manusia. Inilah juga yang boleh membawa kecenderungan seks sejenis kerana fitnah asal telah disekat. Jika itu berkembang dalam diri seseorang ia menjadi penyakit yang memusnahkan fitrah asalnya.

Islam tidak sempit. Ia tidak menghalang fitrah. Cinta yang membawa kepada perkahwinan adalah satu kebaikan. Jadi, jangan kata Islam mengharamkan perasaan cinta antara lelaki dan wanita. Katakanlah Islam mengharamkan zina dan mendekati zina!

Ahad, 12 Februari 2012

Maruah wanita di mana nilainya?

SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
20 Januari 2012 Sinar Harian
 
Gambar Dari Rindu Firdausi
 “SAYA terkedu apabila dengan tidak sengaja melayari sebuah laman sesawang, mutaah.com yang berfungsi sebagai perantara mengiklankan lelaki yang ingin keseronokan semata-mata tanpa mahu bertanggungjawab menjadi seorang suami yang sewajarnya,” demikian luahan insan prihatin terhadap situasi melanda umat Islam kini.

Berdasarkan dialog di atas jelas menerangkan runcingnya keadaan masyarakat Islam yang seakan tidak dapat membezakan antara halal dan haram. Jika ditanya apa itu nikah mutaah pasti ramai menggeleng kepala, tanda tidak mengerti maksudnya.

Rehal mengungkap sejauh mana kesannya terhadap institusi kekeluargaan dan di mana letaknya nilai wanita apabila perkara itu menjadi duri dalam daging kepada masyarakat yang seolah-olah kembali kepada zaman jahiliah.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nabilah Yusof menjelaskan dengan mendalam mengenai perkahwinan itu yang jika dilihat hanya untuk keseronokan dan ia dimonopoli pengamal fahaman Syiah.


HARAM DALAM ISLAM

“Mutaah berasal daripada perkataan mata’a dalam bahasa Arab membawa maksud berseronok. Kahwin mutaah ialah perkahwinan sementara yang dalam akadnya dinyatakan tempoh sama ada seminggu, sebulan, setahun dan mempunyai mahar. Ternyata berbeza dengan perkahwinan dituntut dalam Islam. Kriteria akad nikah mengikut Ahli Sunnah wal Jamaah menggariskan dalam akad tidak boleh sama sekali menyatakan tempoh.

“Perkahwinan mutaah asalnya daripada tradisi masyarakat Arab semasa zaman jahiliah. Kahwin mutaah biasanya dipraktikkan apabila seorang lelaki memerlukan perempuan sebagai teman dalam tempoh tertentu.

“Ketika Islam mula disebarkan Nabi Muhammad SAW, nikah mutaah ini masih diteruskan kerana ia kuat diamalkan oleh kaum jahiliah, namun pada pembukaan Kota Makkah tahun ke-10 Hijrah (sesetengah riwayat menyatakan pada peperangan Khaibar) ia telah diharamkan untuk selamanya. Walaupun mutaah pernah dibenarkan suatu ketika dahulu, namun keizinannya terhad ketika berperang atau berdagang,” katanya.

Menurut Nabilah, Islam mengharamkan pernikahan seperti itu sama seperti dua pernikahan lain, iaitu kahwin muhalil (kahwin cina buta) dan kahwin sighar kerana tidak selari dengan tujuan disyariatkan nikah, di samping meninggalkan kesan negatif ke atas institusi kekeluargaan.

Terdapat hadis diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib bahawa dia mendengar Rasulullah melarang amalan nikah mutaah (berseronok dengan wanita) dan Baginda bersabda lagi ia haram sehingga hari kiamat.

“Segelintir puak Syiah masih berpegang dengan kata-kata Ibn Abbas mengenai penghalalan mutaah, sedangkan beliau sendiri dalam satu riwayat telah menarik balik hukum tersebut setelah mendengar sabda Rasulullah berkenaan pengharaman mutaah untuk selamanya.

“Jelas bukan? Memang sebelum ini ada hadis yang menghalalkan kahwin mutaah, tetapi diharamkan secara berperingkat dan bukannya sekali gus, memandangkan ia adalah adat yang sukar untuk dipisahkan dengan masyarakat pada zaman itu,” katanya.

Nabilah berkata, banyak sebab kenapa Islam mengharamkan nikah mutaah antaranya tidak menepati pensyariatan perkahwinan, tidak mengikut rukun dan syarat nikah yang sah (wali, saksi dan sebagainya). Juga tidak menjadikan pasangan itu berada dalam ketenangan serta anak yang lahir tidak mendapat pembelaan nasab, pusaka, nafkah dan kasih sayang sewajarnya. Tambahan pula, talak menurut syarak mestilah dilafazkan suami secara terang atau sindiran, namun mengikut sistem mutaah talak berlaku apabila tempohnya berakhir.


WANITA JADI BARANG SEWAAN

“Keadaan ini juga seolah-olah merendahkan martabat wanita dengan menganggap golongan Hawa hanyalah tempat untuk memuaskan nafsu semata, sedangkan Islam mengangkat ciptaan ALLAH ini di tempat yang tinggi.

“Nikah mutaah bertentangan dengan fitrah wanita di mana mereka dijadikan barang sewaan, malah hakikatnya boleh disamakan dengan pelacuran, malangnya pendapat sebegitu tidak dapat diterima fahaman Syiah yang menjadikan ia sebagai amalan tidak bertentangan syarak,” katanya.

Menurutnya , jika berkenan dengan mana-mana perempuan hanya perlu membayar mengikut kemampuan, situasi yang sinonim dengan 'pelacuran'.

Kenapa kita perlu kembali kepada zaman jahiliah dengan menjadikan wanita bahan berseronok sedangkan wanita telah diangkat martabatnya ketika Islam disebarkan. Ia serentak dengan penghapusan sistem perhambaan suatu ketika dahulu diamalkan.

Berdasarkan prinsip Islam, setiap individu, sama ada lelaki atau wanita adalah setaraf tanpa sebarang perbezaan. Firman ALLAH yang bermaksud: "Sesiapa yang beramal soleh, daripada lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya KAMI akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya KAMI akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan." (surah al-Nahl ayat 14:97)

“Betapa sedihnya saya melihat situasi ini masih diamalkan, dan tidak salah jika saya katakan ia adalah 'pelacuran yang terancang' dan bersistematik walaupun mempunyai mahar dan akad.


RUNTUHNYA INSTITUSI KELUARGA

"Apakah agaknya kesahtarafan keturunan terhasil daripada kahwin kontrak ini?," soalnya.

Nabilah berkata, sistem mutaah anak bukanlah tanggungjawab suami, tidak timbul lagi persoalan nafkah kerana awal-awal lagi tujuan nikah ini hanya untuk mendapat keseronokan secara ‘halal’.

Apabila tamat tempoh perjanjian dalam akad itu terbatallah perkahwinan dan ini bermakna, nafkah anak hasil mutaah tidak mendapat jaminan dan pembelaan sepertimana nikah hakiki.

“Besar implikasinya terhadap keturunan, cuba bayangkan seorang wanita mampu dimiliki ramai lelaki dan anak-anak yang dilahirkan wanita itu mempunyai bapa yang berbeza, malah anak-anak tidak mengenal siapa ayahnya," katanya.

Sabtu, 11 Februari 2012

Inilah manifestasi cinta

DR MOHD ASRI
10 Februari 2012 Sinar Harian
 
Gambar dari Ally Muhammad
Cinta adalah salah satu perkara ajaib dalam hidup. Setiap yang mempunyai roh khususnya insan dahagakan cinta. Manusia hidup dengan cinta. Hidup membela cinta. Bahagia kerana cinta. Derita kerana cinta. Bahkan sanggup mati kerana cinta. Segala perjuangan atau episod hidup yang diselit unsur cinta mempunyai rasa dan warna yang tersendiri. Derita kerana cinta ada kelazatannya yang luar biasa. Sakit kerana cinta ada rasa yang berbeza. Gembira meraikan cinta tidak sama dengan gembira biasa. Korban cinta, indah pada cerita dan rasa. Manifestasi itu muncul dalam kehidupan dan memberikan nilai dan rencah yang pelbagai rupa, warna dan rasa.

Sesiapa yang memusuhi dan memungkiri cinta dia merupakan pemilik jiwa kontang yang kering dari nilai insani yang sejati. Cinta itu fitrah. Ia satu keperluan. Bahkan mungkin suatu kewajipan ataupun rukun dalam menikmati kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Cinta mampu merubah segala yang ada dalam jiwa seorang insan. Telinga, mata dan segala anggota kadang-kala terpaksa tunduk kepada falsafah cinta. Tunduk kepada nilaian cinta. Pahit boleh menjadi manis. Manis boleh menjadi pahit. Indah boleh menjadi buruk. Usang boleh menjadi baru. Hodoh boleh menjadi cantik. Berat boleh menjadi ringan. Susah boleh menjadi senang. Segalanya terbalik dan berubah penilaian dan rasa hanya kerana cinta. Ini mengingatkan kita kepada rangkap puisi yang disandarkan kepada al-Imam al-Syafi’e (meninggal 204H) :

Telah gering sang kekasih, maka daku menziarahinya
daku juga turut gering kerana risaukannya
datangnya sang kekasih menziarahiku
maka daku pun sembuh kerana melihatnya
(Lihat: Ibn Muflih, al-Adab al-Shar’iyyah, 2/296).


Manifestasi Cinta

Demikian manifestasi cinta itu boleh menjelma dalam pelbagai rupa. Banyak tindakan yang luar biasa boleh terhasil daripada cinta. Sehingga kadang-kala tidaklah dapat difahami oleh akal yang memikirnya tanpa melihat daripada jendela kasih. Saya merenung riwayat Abu Ya’la yang dinilai sahih oleh al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah daripada Anas bin Malik yang menceritakan tentang hari Abu Quhafah, iaitu bapa Saidina Abu Bakar al-Siddiq menganut Islam. Pengislaman beliau agak lewat. Abu Bakar memang begitu mengharapkan bapanya itu menerima Islam. Menariknya, pada hari Abu Quhafah menghulurkan tangannya kepada Nabi SAW untuk menganut Islam,

Abu Bakar menangis. Nabi SAW bertanya: “Apakah yang membuatkan engkau menangis wahai Abu Bakar?”. Jawabnya: “Seandainya tangan bapa saudaramu (Abu Talib) berada di tempat bapaku sekarang, lalu dia (Abu Talib) menganut Islam sehingga engkau gembira lebih aku suka dari bapaku sendiri menganut Islam”.

Demikian halusnya perasaan Abu Bakar, kegembiraan bapanya menganut Islam itu tenggelam apabila mengenang Nabi SAW tidak memperolehi kegembiraan yang sama disebabkan bapa saudara kesayangan baginda (Abu Talib) tidak menganut Islam. Abu Bakar membayangkan alangkah baik jika Abu Talib yang berada di tempat bapanya ketika itu. Itulah cinta. Itulah berkorban apa sahaja. Tiada rasa gembira jika kekasih berduka. Tiada rasa gembira jika kekasih tidak kongsi bersama. Kehidupan Abu Bakar; tindakan dan pergerakannya adalah manifestasi cinta yang sangat dalam dalam terhadap seorang rasul. Dia telah memenuhi makna sabda Nabi SAW: “Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya” (Riwayat al-Bukhari).

Justeru itu, fahamlah kita makna kemanisan bercinta kerana ALLAH dan Rasul-Nya. Cinta seperti itu telah mencetuskan pelbagai keajaiban dan kehairanan manusia biasa sepanjang sejarah kemanusiaan. Sanggup berkorban dan terkorban sebagai manifestasi cinta. Para sahabat sanggup meninggal keluarga dan sahabat handal. Sanggup kehilangan harta dan nyawa. Semuanya kerana cinta. Pada mata manusia mereka menderita. Di lubuk jiwa, mereka sedang tenggelam dalam satu kemanisan yang sukar yang hendak digambarkan dalam tulisan dan perkataan. Kemanisan iman! Inilah yang disebut oleh Nabi SAW: “Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah ALLAH dan rasul-Nya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana ALLAH. (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Cinta Menafikan Cinta

Cinta juga menafikan cinta. Jika kita benar-benar sayang kepada seseorang, sudah pasti kita tidak akan menyayangi orang yang membenci kekasih kita tanpa sebab yang benar. Sudah pasti kita dapat menerima orang memusuhi kekasih kita tanpa suatu alasan yang boleh dimaafkan. Bagaimana boleh berhimpun dua kekasih yang bermusuhan dalam satu perasaan, melainkan kadar cinta kita itu tidak memenuhi ruang. Di sinilah yang al-Quran tegaskan bahawa tidak mungkin seseorang yang mencintai ALLAH dan Rasul-Nya, tetapi dalam masa yang sama menyayangi mereka yang memerangi ALLAH dan Rasul-Nya. Firman ALLAH: (maksudnya) “Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) ALLAH dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka itu (yang setia) itu, ALLAH telah menetapkan iman dalam jantung hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. ALLAH redha kepada mereka dan mereka redha kepada-Nya. Merekalah hizbulLah (golongan ALLAH). Ketahuilah! Sesungguhnya golongan ALLAH itulah orang-orang yang berjaya”. (Surah al-Mujadilah: 22).

Islam tidak menyuruh kita memerangi bukan Muslim tanpa sebab yang diiktiraf oleh agama. Kita mungkin boleh duduk berbincang dengan bukan Muslim, atau Muslim yang tidak kuat berpegang dengan agama. Bersimpati dengan mereka, berkawan dan bertukar manfaat kehidupan dunia. Menyampaikan pandangan dan pendapat dan saling menghormati. Ini selagi mana mereka semua tidak menzahirkan peperangan, penghinaan dan pencercaan terbuka terhadap ALLAH dan Rasul-Nya. Jika itu berlaku, tidak mungkin ada berhimpun dalam suatu jantung cinta ALLAH dan sayangkan penentang ALLAH.


Maulid

Saya tidak mahu bahaskan tentang maulid sebab saya telah sebut dalam artikel yang lain tentang perbahasan dan perbezaan para sarjana mengenai tarikh kelahiran Nabi SAW dan pandangan terhadap sambutan itu sendiri. Setiap tempat mungkin ada penilaian yang berbeza berdasarkan perbezaan cara dan maksud. Cumanya, hubungan Muslim dengan Nabi mereka bukan seperti hubungan antara kita dengan tokoh-tokoh dunia yang lain yang di sambut sekadar mengenai jasa atau sekadar satu pesta. Hubungan kita dengan Baginda adalah hubungan cinta yang menzahirkan manifestasinya. Para sahabat Nabi SAW tidak ada sebarang perayaan mengenai Nabi SAW tetapi manifestasi cinta itu menjelma saban hari dan waktu dalam kehidupan mereka. Mereka berjaya membawa obor iman dalam kehidupan sekalipun tanpa perayaan. Sedangkan kita dengan segala perayaan gagal menunai manifestasi cinta itu. Bahkan dalam perayaan kita, orang-orang besar, menteri dan raja hadir dengan penuh gaya dan pakaian kesombongan yang sama sekali berbeza dengan kehadiran Nabi SAW semasa hayatnya ke dalam majlis sahabat tercinta! Cinta melahirkan manifestasinya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...